meeBo

Sunday, October 17, 2010

Tengku Mahaleel Tengku Ariff Menjawab Isu Mengenai Proton

Berikut adalah enam isu pokok yang menghantui Proton semasa Tengku Mahaleel Tengku Ariff memimpinnya.
Kini beliau bebas menjawabnya.

1. PROTON MENGAKIBATKAN KERAJAAN MENANGGUNG BEBAN KEWANGAN
Bagaimana sebenarnya ia didefinisikan? Apakah ia bermaksud kerajaan memberi subsidi kepada Proton? Atau Proton telah di`bailed-out'?
Jika mengatakan pinjaman kerajaan, itu memang ada. Pinjaman dari kerajaan kepada Hicom untuk Proton sebanyak RM785 juta.
Mengikut perjanjian, pinjaman itu harus dibayar balik menjelang 2012. Tetapi kami berjaya mempercepatkannya tujuh tahun lebih awal, iaitu pada tahun 2007.
Baki hutang sekarang hanya RM115 juta dan tahun depan kurang daripada RM100 juta. Dengan tunai RM2.4 bilion, Proton boleh dengan mudah menjelaskan kesemua hutang tersebut. Mana GLC yang mempercepatkan pembayaran balik hutang kerajaan? Jadi, di mana kerajaan rugi?

2. PROTON MENIKMATI PENGECUALIAN CUKAI
Semua kereta berstatus nasional menikmati rebat cukai dan tidak Proton sahaja. Pada satu tahap, saya mempercayai inilah kadar-kadar cukainya: Naza Kia menerima `0' cukai import - ia adalah syarikat persendirian.
Hyundai Atos dikenakan 5 peratus cukai - ini bukan kereta nasional pun.
Perodua Kancil juga menerima `0' cukai import - ini adalah syarikat asing.
Proton membayar 13.5 peratus cukai import bagi kebanyakan model-modelnya.
Jadi mengapa Proton sahaja yang dilaung-laungkan orang supaya dilepaskan perlindungan?
Saya telah berterusan merayu supaya diwujudkan padang permainan yang sama. Sama juga dengan duti eksais. Tapi tiada siapa mendengar.
Sebaliknya, Proton dibelasah kerana kita mengimport dalam bilangan kecil dan tidak menikmati cukai import tetapi membayar lebih tinggi cukai eksais daripada pesaing.
Malahan, Proton telah membayar duti dan cukai berjumlah RM10 bilion sejak 10 tahun lalu. Adakah syarikat kereta termasuk kereta nasional lain membayar cukai sebanyak itu?

3. KERETA PROTON BERHARGA MAHAL
Apa dan bagaimana kita membuat perbandingan? Kerajaan mengenakan cukai antara RM6,000 hingga RM10,000 bagi sesebuah kereta Proton.
Jika tanpa cukai-cukai itu, Gen 2 boleh dijual pada harga RM42,000 sahaja.
Harga model baru Proton kini lebih murah berbanding model lama. Misalnya bagi Wira 1.5 liter, harganya ialah RM55,000 tetapi Gen 2 1.6 liter pula RM52,000. Masih mahal jugakah?

4. PROTON BERKUALITI RENDAH
Setiap hari kita mendengar keluhan ini. Daripada golongan atasan hinggalah masyarakat umum menerusi media.
Bukankah semua kereta mempunyai kerosakan yang memerlukan pemanggilan balik membabitkan pengeluar seperti Toyota, Honda, Ford, GM, Mercedes-Benz dan lain-lain.
Proton juga terpaksa memanggil balik Perdana beberapa tahun lalu. Sebenarnya Mercedes juga mengalami masalah tingkap elektronik.
Proton memiliki 2 juta pelanggan yang 90 peratus daripada adalah di Malaysia. Jadi keluh-kesah itu mewakili berapa ramai? Satu peratus ialah 20,000 orang. Bagaimana baki 1.98 juta?
Dalam soal kualiti, auto industri menggunakan dua kaedah penilaian iaitu mata dimerit dan kecacatan setiap satu kereta.
Pada tahun 1997, mata dimerit Proton ialah 20 dan semasa saya mentadbir Proton, mata itu menurun kepada 6 yang menyamai penanda aras dunia.
Dari segi kecacatan setiap satu kereta, sebelum itu ialah di atas 10 tetapi sejak operasi di Tanjung Malim dan TUV, Proton di paras 4 mata.
Sekian lama juga saya mempercayai bahawa ketika EON menjadi pengedar tunggal, ia telah mencipta gambaran buruk terhadap kereta Proton dengan tumpuannya menjual aksesori kepada pelanggan yang tidak mahukannya. EON sepatutnya memberi tumpuan kepada soal kualiti dan kepuasan pelanggan.
Atas sebab inilah Proton menubuhkan Proton Edar supaya ia boleh memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
Terdapat juga beberapa menteri menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kualiti Proton.
Tahukah awak beberapa orang di antaranya tidak mengguna pun kereta Proton walaupun dasar kerajaan menetapkannya begitu. Mereka memandu Mercedes, Lexus, Toyota dan Kia.
Jadi apabila awak tidak memandu Proton, mana datangnya hak untuk membuat kenyataan seumpamanya?

5. PROTON MERUGIKAN KERAJAAN
Proton telah membayar cukai sebanyak RM18 bilion dan daripada hasil eksport telah membawa pulang tukaran asing bernilai RM6 bilion.
Proton sendiri telah melabur semula sebanyak RM3.4 bilion bagi membina kilang-kilang, produk dan kejuruteraan.
Kumpulan Proton meningkatkan bila-ngan tenaga kerjanya daripada 5,200 orang pada 1996 kepada 11,000 orang tahun ini.
Jadi bagaimana kami membebankan kerajaan?
Yang membebankan kerajaan dan menyebabkan inflasi, pada pendapat saya ialah isu perisytiharan rendah kereta import dan alat ganti.
Di manakah dalam dunia ini kereta import menerusi Pelabuhan Klang berharga separuh daripada harga komputer bimbit.
Jika kerajaan lebih cekap dalam penilai-an dan kutipan, wang tersebut boleh digunakan semula bagi membantu rakyat membasmi inflasi.
Perlu saya tegaskan bahawa Proton tidak pernah merayu meminta bantuan kerajaan walaupun semasa krisis kewangan 1997. Sebaliknya, Proton memberi pinjaman RM1.3 bilion kepada EON dan para vendors untuk membantu mereka hidup. Patutnya, Proton diberi lesen perbankan ketika itu.

6. PROTON DITUTUP SAJA
Gesaan sebegini diselubungi pelbagai agenda tersembunyi yang sukar saya hendak jelaskan.
Lebih membingungkan ialah hanya pada Februari lalu, Kabinet menyatakan rasa puas hati dengan kemajuan Proton dalam memenuhi matlamat yang ditetapkan dan memahami cabaran seperti AFTA dan akan terus menyokong agenda nasional Proton.
Kalau hendak menggesa Proton ditutup, bermakna mana-mana GLC atau universiti awam juga boleh dilakukan gesaan yang sama.
Tetapi persoalannya, nanti apa yang tinggal pada kita? Memandangkan kita tidak dapat mengendalikan MAS, TNB dan TM, mengapa tidak pelawa Singapore Airlines, Vodafone dan Citibank mengambil alih?
Lagi baik ialah gajikan pemain China mewakili kita dalam badminton. Biarkan kita jual dan beli aset.

Inikah Malaysia baru yang kita mahu? Renunglah diri sejenak.


No comments: